Cahaya yang masuk di celah-celah jendela kamar Balqis mengejutkan dirinya daripada tidur.Matanya terpinar-pinar menghadap mentari yang menyilaukan matanya.Badan terasa lenguh dan keras seperti batu untuk bangkit dari katil yang sudah hampir sedekad umurnya.Katil itu juga tempat bapanya menghembuskan nafas buat kali terakhir.Tersirat dan tersurat kenangan yang terbuku di atas katil itu.Banyak kenangan suka dan duka menjadi simpulan yang belum terlerai lagi.Balqis hanya menanti saat ibunya meleraikan segalanya.
Balqis segera bangkit dari katil tersebut lalu menuju ke sudut biliknya.Kalendar yang tergantung di sudut biliknya itu menjadi tumpuannya setiap pagi.Sebaik sahaja melihat tarikh yang terpapar jelas pada sekeping kertas nipis itu,bibir kering Balqis menguntum senyuman.Jarinya mengusap kalendar yang ada di situ.Hari ini,genaplah umurnya 16 tahun dan dua tahun pemergian bapanya.
Balqis terduduk di atas katilnya.Biarpun bibir masih lagi tidak lekang daripada mengukir senyuman hambar,tetapi hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.Setiap ulang tahunnya,tiada apa yang boleh digambarkan.Balqis hanya terduduk tanpa sebarang reaksi.Setelah melayan perasaannya buat beberapa detik,baru dia teringat akan ibunya.
"Ibu sedang buat apalah?Adakah dia masih ingat hari lahirku?"
Benak Balqis diterpa kehairanan.Di manakah ibunya sekarang?Selalunya,dialah yang mengejutkan aku daripada tidur.
Balqis keluar daripada bilik usang itu lalu menuju ke dapur mencari ibunya.Di dapur,ibunya tiada.Di bilik ibunya juga tiada.Ke manakah ibu?Takkanlah hari minggu sebegini,ibu pergi ke kebunnya?Semua itu tidak mungkin.Ibu akan berehat pada hari minggu.
Balqis ke dapur semula lalu mencapai tudung saji di atas meja untuk dibuka.Hidangan seperti selalu yang dihidangkan iaitu ubi kayu rebus dan kopi O' yang masih panas.Pasti ibu baru sahaja keluar ke mana-mana.Fikiran Balqis mula berputar berfikir,Ke manakah ibu?
Setelah membersihkan diri,Balqis menikmati sarapannya.Dia sentiasa bersyukur dengan apa yang dia ada.Biarpun hampir setiap hari memakan makanan yang sama,lidahnya masih boleh menerima hidangan itu.Lidahnya juga sudah sinonim dengan makan tersebut.Sewaktu mencapai secawan kopi O' di hadapannya,setitis air jernih tumpah di pipinya.
Balqis teringat akan arwah bapanya yang menggemari air kopi O' yang ibu sediakan.Biarpun hanya kopi yang murah dan agak pahit,air tersebut masih mendapat tempat di hati ayah.Balqis juga boleh menerima apa-apa air yang ibunya sediakan tanpa sebarang rungutan.
Seusai Balqis menghabiskan sarapannya,dia menuju ke anak tangga untuk menikmati udara segar pada waktu pagi.Balqis memandang sekeliling rumah usang yang menjadi tempat dua beranak tersebuat berteduh.Sekali lagi,air jernih tumpah buat kali kedua.Keadaan rumahnya itu dipandang sebelah mata sahaja oleh orang kampung sekeliling.
Hari jadinya yang seperti diimpikan selalu hancur oleh faktor kehidupannya.Setiap kali hari lahirnya menjelma,dia mengimpikan hadiah yang bertimbunan,belon-belon yang berwarna warni di kiri dan kanan,makanan yang menyelerakan,tetamu yang menghadiri untuk membanjiri rumah,tari menari oleh rakan-rakan.Segala-galanya diimpikan,mahukan kenyataan.Tetapi,dia tahu bahawa hari lahirnya takkan seindah seperti itu jika tiada kedua-dua orang tua yang sentiasa di sisinya.
Dia tahu,semua itu hanyalah impian yang mungkin takkan menjadi kenyataan.Dia sedar akan keadaan hidupnya sekarang.Dia tidak pernah mendesak ibunya untuk melakukan semua itu.
Balqis masuk semula ke dalam rumahnya lalu melakukan tugas seperti biasa seperti mengemas rumah,membasuh baju,dan menjemur baju.Sewaktu mengemas rumah,Balqis terpandangkan gambar lama ayahnya dan ibunya di sebuah rumah yang agak mewah.Barangkali pesta hari jadi di rumah teman mereka.
Masa berganti masa,kini ibu Balqis masih belum pulang.Balqis terlena sebentar di ruang tamu yang hanya sekangkang kera saiznya seusai menghabiskan tugasan hariannya.Jam di dinding berputar dari pukul dua hingga pukul empat.
Tepat pukul empat,Balqis terjaga dari lenanya.
"Astaghfirullahalazim,".Baru Balqis teringat yang dia terlupa mahu melawat pusara ayahnya.Segera dia bergegas ke dalam biliknya dan menukar pakaian yang lebih elok.Baju kurung hitam yang lama tergantung di dalam almari buruk itu disarungkan.Selendang hitam dicapai lalu meninggalkan rumah tersebut.
Langkah kanan didahulukan sesampainya dia di tanah perkuburan Islam berdekatan rumahnya.Dari jauh dia terpandangkan kelibat seorang perempuan yang usianya lebih kurang separuh abad sedang menangis di kubur arwah bapanya.Di sebelahnya pula terdapat sebuah bakul biru tertutup yang sangat dikenalinya.
Balqis memandang ke langit.Kelihatan awan-awan sudah gelap.Segera Balqis menuju ke kubur bapanya.
"Assalamualaikum,makcik ni siapa?Maaf,ini kubur bapa saya"sayu Balqis menuturkan kata-katanya.
Perempuan itu menoleh mukannya setelah mendengar suara sayu Balqis.Balqis terkejut melihat wajah yang berada di hadapannya sekarang.
"Ibu?"
"Selamat ulang tahun Balqis."
Hanya ayat itu sahaja yang terungkap di sebalik bibir kecut ibu Balqis.
Hujan turun dengan lebatnya.Air mata turun di pipi kedua-dua beranak itu.
"Terima kasih ibu,Qis ingat ibu dah lupa hari lahir Balqis,"perlahan sahaja suara yang keluar dari bibir comel Balqis."Ayah,hari ni hari jadi Qis."mata Balqis pula seterusnya memandang ke arah kubur bapanya yang ditaburi bunga-bungaan.Ibu pernah mengatakan sesuatu kepadanya dahulu.Ibu yang menabur bunga-bunga itu agar kubur tersebut sentiasa mewangi di taman hati kami berdua.
"Mak tak lupa sayang,mak sentiasa ingat hari lahir anak ibu yang seorang ini."
Balqis memeluk bahu ibunya.Mata dipejamkan.Terasa kehangatan pelukan seorang ibu kandung.Orang kata,syurga di bawah telapak kaki ibu.Balqis merasakan bahawa bukan sahaja dia dan ibunya yang berada di situ malah bapanya juga turut sama memeluk erat mereka berdua.
Dalam kedamaian tersebut,tiba-tiba bunyi guruh di langit meleraikan pelukan mereka lalu mereka bangkit dari situ dan berlalu pulang ke rumah.
"Mak ke mana seharian ni?Qis tak nampak pun."soalan itu diajukan kepada ibunya.
"Mak pergi tolong rumah kenduri Pak Mail Hasyim.Ni,dalam bakul ni ada lauk kenduri sikit.Bolehlah kita makan malam ni."
Hanya senyuman yang terukir di bibir Balqis.Pada hari jadinya,biarpun tiada hadiah-hadiah yang bertimbunan,tiada belon-belon yang berwarna-warni di kiri dan kanan,tiada tetamu yang datang untuk meraikan,tiada tari-menari oleh rakan-rakan tetapi di sedar bahawa itu semua tidak penting.Yang penting ialah kasih sayang kedua-dua ibu bapa di samping kita.
Walaupun pada hari lahir Balqis,dia tidak mendapat apa yang diingini,sekurang-kurangnya dia dapat makanan yang menyelerakan untuk hari lahirnya.
Dia sangat bersyukur biarpun hidup dalam kemiskinan,tetapi kebahagiaannya adalah keutamaan baginya.....
Kebanyakan orang berbahagia apabila mereka mahukan kebahagiaan dalam fikiran mereka.
~Abraham Lincoln~

Nice, Fatin :)
ReplyDeleteAwhh thank you alia :) Sorry i didnt realize that u left a comment here ehee
Delete